Sejarah Ringkas Pengumpulan al Qur'an.
Bismillahir Rahmanir Raheem..
1. Al Qur’an memerupakan Kalamullah dan mempunyai kitab Induk yang tersimpan di Lauh Mahfuz. Satu persatu ayatnya disalin oleh para Malaikat. Kemudian disampaikan kepada Muhammad s.a.w. mengikut arahan dan perintah Allah pada waktu-waktu dan ketika yang bersesuaian. Ia disampaikan Jibril a.s. kepada Muhammad s.a.w. mengikut serta menyentuh perkara-perkara yang berlaku di dalam keadaan umatnya pada ketika itu.
2. Al Qur’an pertama kalinya diturunkan pada malam Qadr (Lailatul Qadr). Dalilnya : Surah ad Dukhan ayat 1 hingga 3, al Qadr ayat 1 hingga 2 dan al Baqarah ayat 185.
3. Ayat pertama : Surah al Alaq ayat 1 hingga 5.
4. Surah pertama yang diturunkan dengan lengkap : al Muddatsir.
5. Surah terakhir diwahyukan : At Taubah
6. Ayat terakhir yang diwahyukan : al Baqarah ayat 281. Sebenarnya terdapat banyak pendapat dari ramai golongan sahabat mengenai ayat apa sebenarnya merupakan ayat terakhir yang diwahyukan Allah kepada Rasulullah s.a.w.. Para sahabat memberikan jawapan berbeza-beza, mungkin disebabkan mereka merujuk pengalaman mereka sendiri yang menerima ayat terakhir ketika mereka bersama dengan Rasulullah s.a.w.. Saya mengambil ayat 281 surah al Baqarah sebagai ayat terakhir kerana seluruh penulisan ringkas yang dimuatkan ini mengmbil kitab Syarah ‘ulumul Qur’an oleh Syeikh Muhammad Alias-Shabuni. Beliau menghuraikan beberapa hadis yang menguatkan hujah ayat 281 al Baqarah sebagai ayat terakhir termasuk menyatakan bahawa ayat tersebut diwahyukan 9 malam sebelum Rasulullah s.a.w. wafat. Bagi saya sendiri, perkara mengenai ayat mana yang terakhir bukanlah perkara pokok untuk diberikan terlalu banyak perhatian. Yang perlu diberikan perhatian oleh umat Islam ialah, membaca, memahami serta mengamalkan seboleh mungkin sepenuhnya setiap apa yang Allah s.w.t. wahyukan kepada kita di dalam al Qur’an. Tanyakan kepada diri kita, tidakkah kita malu untuk mengaku diri Islam sedangkan al Qur’an yang menjadi tunggak kepada apa sebenarnya Islam, tidak pernah kita baca dan faham maksudnya sehingga habis? Kita semua perlu berusaha keras untuk memperbaiki kelemahan kita ini.
7. Al Qur’an mempunyai 6,236 ayat. Mempunyai 114 surah.
8. Dimulakan dengan kalimah Basmallah pada 113 surah dan satu surah iaitu at Taubah tidak dimulai dengan kalimah tersebut. Ia berkenaan laknat Tuhan kepada golongan yang bakal diperangi Rasulullah s.a.w. di dalam perang Tabuk. Tiada lagi belas dan rahmat ke atas mereka.
9. Walaupun surah at Taubah tidak dimulakan dengan kalimah Basmallah, jumlah kalimah tersebut di dalam al Qur’an tetap dihitung cukup pada jumlah 114. Ini kerana di dalam surah an Naml ayat 30, kalimah tersebut disebutkan di dalam kisah surat Nabi Sulaiman a.s. kepada Ratu Saba’ yang dimulakan dengan kalimah tersebut.
"Sesungguhnya surat itu dari Nabi Sulaiman, dan kandungannya (seperti berikut): "Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani..
10. Al Qur’an diwahyukan kepada Rasulullah s.a.w. dalam pelbagai cara :
a. Jibril memasukkan secara terus ayat-ayat tersebut ke dalam hati baginda dalam keadaan baginda tidak melihat apa-apa. Satu rasa terbit di dalam hati Rasulullah s.a.w. bahawa baginda dapat merasakan wahyu itu telah berada dalam hatinya.
b. Malaikat Jibril a.s. menyerupakan dirinya seperti seorang lelaki dan muncul di hadapan Rasulullah s.a.w. dan mengucapkan ayat kepada Baginda sehingga Baginda benar-benar dapat menghafaz ayat yang diturunkan itu.
c. Wahyu datang kepadanya berserta bunyi loceng. Ini adalah cara yang paling berat dihadapi oleh Baginda sehingga keadaan baginda sangat panas walaupun ketika itu cuaca sangat sejuk.
d. Jibril memperlihatkan dirinya yang sebenar sepertimana yang dialami oleh Baginda sewaktu turunnya ayat surah al-Muzammil.
11. Al Qur’an diturunkan kepada kaum Quraisy yang rata-rata masyarakatnya tidak tahu membaca. Kelebihan umat sebegini ialah, apabila mereka tidak mempunyai keupayaan untuk membaca, mereka mempuanyi keupayaan yang hebat pula di dalam menghafal. Hati mereka terang dan mereka tidak bergantung kepada bahan bacaan untuk merujuk sesuatu. Mereka ini sejak dari sebelum zaman Islam terkenal dengan kebolehan menghafal syair-syair indah yang panjang dan cerita-cerita yang disampaikan dari masa ke semasa. Mereka telah sedia dibentuk sebagai masyakat yang kuat daya hafalan. Jadi ianya tidak menjadi masalah apabila al Qur’an mula diwahyukan, mereka dengan segera dapat menangkap serta menghafal apa yang diwahyukan dengan mudah dan tanpa sebarang masalah.
Mereka juga tidak terdedah kepada pembohongan demi pembohongan atas nama agama yang sedang dilakukan secara meluas oleh kalangan ahli kitab pada ketika itu. Malah Muhammad s.a.w. merupakan seorang pemuda berpemikiran hebat tetapi baginda sendiri tidak tahu membaca. Ia dinyatakan Allah di dalam surah al Ankabut ayat 48 seperti berikut :
Dan engkau (wahai Muhammad) tidak pernah tahu membaca sesebuah kitab pun sebelum turunnya Al-Quran ini, dan tidak pula tahu menulisnya dengan tangan kananmu (kalaulah engkau dahulu pandai membaca dan menulis) tentulah ada alasan bagi orang-orang kafir yang menentang(mu) - akan merasa ragu-ragu (tentang kebenaranmu).
12. Sistem susunan ayat al Qur’an dibuat melalui ketetapan yang telah ditetapkan Allah yang disampaikan melalui Jibril. Ianya tidak disusun secara Kronologi. al Qur'an juga tidak disusun mengikut giliran turunnya ayat. Ia disusun menurut turutan yang telah ditetapkan Allah sepertimana Ia sebelum ini ditempatkan di Lauh Mahfuz. Perhatikan sejarah turunnya wahyu. Wahyu pertama yang disampaikan kepada Rasulullah s.a.w. ialah ayat 1 hingga 5 surah al Alaq. Tetapi surah al Alaq tidak dilengkapkan sesudah ayat kelima. Ayat satu hingga 5 ini, dinyatakan oleh sebahagian besar ulama tafsir sebagai pengesahan pelantikan Muhammad s.a.w. sebagai seorang Nabi. Wahyu kedua yang diturunkan Allah kepada Muhammad s.a.w., berlaku setelah Muhammad s.a.w. tidak mendapat sebarang berita dan wahyu dari Allah dalam satu jeda masa tanpa wahyu sebelum surah Ad Muddatsir diwahyukan.
Penentuan susunan kedudukan surah-surah di dalam al Qur’an pula, terdapat tiga pendapat utama mengenainya :
a. Pertama, Ia merupakan ketetapan yang telah ditentukan oleh Rasulullah s.a.w.
b. Kedua, ia merupakan ijtihad para sahabat pada masa penyusunan al Qur’an dilakukan.
c. Ketiga, ia bersandarkan kepada ketetapan Rasulullah s.a.w. dan sebahagiannya lagi bersandarkan kepada ijtihad para sahabat.
Jumhur Ulama, termasuk Al-Imam Malik, Al-Qadhi Abu Bakar bin Thayyib Al-Baqillani, lebih cenderung kepada pendapat kedua, iaitu berdasarkan ijtihad para sahabat. 2
14. Wahyu kemudian tidak turun dalam satu tempoh yang lama. Kemudian pada suatu hari, Jibril a.s. muncul dilangit lantas menyampaikan ayat dari surah al Mudatsir (Orang Yang Berselimut). Ayat ini pula ditafsirkan ulama’ tafsir sebagai pengesahan kepada perlantikan Muhammad s.a.w. sebagai seorang Rasul yang ditugaskan untuk menyampaikan Islam kepada seluruh manusia.
15. Ada surah-surah diturunkan sekaligus secara lengkap. Ada pula surah yang diturunkan secara peringkat demi peringkat mengikut situasi dan keadaan keperluan ummah pada ketika itu. Surah-surah ini diwahyukan dengan diselang seli oleh penurunan surah-surah yang lain. Ia seperti contoh di mana yang telah disebutkan di dalam perkara 4 di atas. Surah al Alaq yang masih belum dilengkapkan kemudian diwahyukan pula kepada Muhammad s.a.w. ayat di dalam surah al Muddatsir dari awal sehingga lengkap.
16. Standard bacaan dan ketepatan piawaian bacaan terjaga melalui satu sistem semakan yang dijalankan pada seiap tahun kerasulan Muhammad s.a.w.. Piawai bacaan serta hafalan al Qur’an Rasulullah s.a.w. disemak oleh malaikat Jibril a.s. pada sekali pada setiap Ramadhan. Pada tahun akhir sebelum Rasulullah s.a.w. wafat, Jibril a.s. menyemak bacaan Rasulullah s.a.w. sebanyak 2 kali.
17. Rasulullah s.a.w. pula akan sentiasa menyemak bacaan para sahabat dari masa ke semasa.
18. Walaupun Rasulullah s.a.w. tidak tahu membaca dan menulis, setiap kali turunnya wahyu, baginda akan memerintahkan beberapa orang sahabat untuk tolong menuliskannya di atas lembar kulit, kayu, batu, tulang dan sebagainya. Ini kerana kertas serta teknologi menghasilkannya belum meluas di tanah Arab.
19. Rasulullah s.a.w. mempunyai beberapa orang jurutulis yang terkenal. Antaranya dari kalangan Muhajirin iaitu Khulafa ar Rasyidin, Muawiyyah bin Abu Suffyan dan beberapa sahabat lain. Manakala dikalangan Ansar, Ubay bin Ka’ab, Mu’adz bin Jabal, Zaid bin Tsabit dan Abu Yazid dan sahabat-sahabat yang lain.
20. Al Qur’an diwahyukan secara beransur-ansur dalam tempoh 23 tahun (ada pendapat mengatakan 26 tahun). Hikmah penurunan secara beransur-ansur seperti berikut:
a. Memudahkan para sahabat melakukan hafalan.
b. Sentiasa berkait serta bertujuan menyelesaikan setiap masalah dan isu yang dihadapi oleh umat Islam pada ketika itu.
c. Memudahkan pelaksaan peringkat demi peringkat syariat yang disampaikan supaya ianya tidak terlalu mengejutkan.
d. Memberi ruang kepada umat Islam mempraktikkan apa yang disampaikan dan membolehkan mereka mendengar ayat-ayat al Qur’an lantas patuh mengerjakannya dengan tertib.
e. Sebagai tanda Allah s.w.t. sayangkan Rasulullah s.a.w. dan tidak meninggalkan baginda sepanjang tempoh tugasan sebagai nabi dan rasul. Dengan pelbagai ujian yang dihadapi dengan berat, kedatangan wahyu sentiasa memberi satu indikasi bahawa pada setiap saat dan masa, Allah bersama Rasulullah s.a.w. memimpin serta memberi pedoman kepada setiap perkara yang berlaku disekeliling mereka.
f. Ia juga memperkukuhkan hati dan kekuatan umat Islam dalam menangani ancaman golongan musyrik, ahli kitab dan semua jenis musuh yang berada disekeliling mereka.
21. Pada masa hayat Rasulullah s.a.w., sudah terdapat beberapa mushaf al Qur’an yang bertulis. Beberapa orang sahabah menyimpannya dan mushaf-mushaf itu dikenali dengan nama mereka-mereka yang mengumpul dan menyimpannya. Antaranya Mushaf Ibnu Mas’ud, Mushaf Ali, Mushaf A’isyah dan beberapa Mushaf lainnya.
22. Rasulullah s.a.w. wafat selepas 9 malam hari ayat terakhir (Al Baqarah ayat 281) diwahyukan.
